1.0 PENGHARGAAN

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak-pihak yang telah membantu saya untuk menyiapkan kerja kursus folio sejarah mengenai satu perayaan tradisi kaum di Malaysia. Sehubungan dengan itu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru sejarah saya yang telah banyak membantu saya menyiapkan kerja kursus ini. Beliau juga telah memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada saya sepanjang proses membuat kerja kursus ini. Kesabaran beliau amatlah saya hargai.

Ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua ibu bapa saya iaitu En Hassan Bin Hussain dan Puan Rokiah Binti Ali yang telah memberikan dorongan dan sokongan kepada saya dalam menyiapkan folio saya dan pelajaran saya keseluruhannya. Walaupun mereka sentiasa sibuk, masa singkat yang berkualiti dengan idea-idea bernas banyak membantu saya untuk menjalankan kajian ini.

Akhir sekali, terima kasih kepada rakan-rakan sekelas yang sama-sama berbincang dan berkongsi maklumat untuk menyiapkan kerja kursus ini.
Terima kasih sekalung budi.

2.0 OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini memberi saya peluang untuk mengkaji dan mengetahui dengan lebih baik mengenai satu perayaan tradisi kaum di Malaysia seperti Hari Raya Aidil Fitri. Masyarakat majmuk di Malaysia kaya dengan budaya dan tradisi. Melalui kajian terhadap perayaan ini saya dapat mengetahui tentang budaya dan tradisi kita dengan lebih mendalam.
Selain daripada itu, dengan pengetahuan yang saya kumpul semasa kajian ini, ia akan memberi ruang kepada saya untuk menghayati peristiwa ini dengan lebih bermakna lebih-lebih lagi saya sendiri telah melalui pengalaman menyambut perayaan ini. Dengan kajian ini, ia telah membolehkan saya lebih memahami tentang budaya bangsa saya dan menjadikan saya lebih menghargai apabila meraikan perayaan ini di masa akan datang.
Perayaan yang diraikan di Malaysia oleh masyarakat majmuk amat bermakna kepada setiap kaum tersebut. Sebagai contoh, perayaan Hari Raya Aidil Fitri adalah lambang kejayaan melawan hawa nafsu selepas sebulan berpuasa. Ini akan menjadikan saya lebih berbangga dengan asal-usul dan agama saya. Disamping itu, kesan-kesan perayaan dapat mengajar saya menghargai setiap perayaan yang diraikan oleh setiap kaum terutamanya kaum melayu. Oleh itu, ia akan mengajar saya betapa penting dan bermaknanya setiap sambutan perayaan bagi rakyat Malaysia,
Pelaksanaan kerja kursus ini juga bertujuan mendidik dan membimbing pelajar melaksana kajian secara betul dan sistematik mengikut garis panduan yang telah ditetapkan iaitu semasa proses mencari sumber yang betul bertepatan dengan kaedah sejarah serta semasa merekodkan hasil kajian dengan cara yang tepat. Ini akan memberi manfaat kepada pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi nanti apabila menjalankan kajian.
3.0 KAEDAH KAJIAN
Saya telah menggunakan 3 kaedah mencari sumber kajian dalam melaksanakan kajian ini. Kaedah-kaedah tersebut adalah seperti berikut :-

Melalui pemerhatian semasa perayaan tersebut serta hasil wawancara saya bersama kedua-dua ibubapa saya. Saya telah melalui pengalaman menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri setiap tahun bersama keluarga, saudara-mara dan sahabat handai serta menulisnya disini untuk kajian saya. Ini merupakan kaedah primer atau utama dalam mencari fakta sejarah tanpa sebarang olahan atau interpretasi pihak lain.

Kaedah kedua saya ialah melalui internet dengan mencari maklumat-maklumat yang berkaitan. Dengan kecanggihan teknologi dan penggunaannya yang meluas, saya dapat pelbagai maklumat berhubung dengan kajian saya dengan mudah. Sumber daripada internet ini amat banyak dan membolehkan saya menjalankan kajian dengan lebih terperinci.

Kaedah ketiga ialah melalui media cetak seperti suratkhabar dan majalah. Saya boleh mendapatkan sumber ini di rumah ibubapa dan datuk daripada simpanan suratkhabar dan majalah-sajalah yang dibeli oleh mereka.

4.0 HASIL KAJIAN

I. Perayaan Tradisi
Kajian saya adalah berhubung dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah atau Hari Lebaran.

Hari Raya Aidilfitri ini merupakan perayaan yang disambut oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa. Majoriti kaum yang menyambut perayaan hari raya ini di Malaysia adalah kaum melayu.

Umat Islam menyambut Hariraya Aidilfitri pada 1 Syawal tahun Hijrah iaitu bulan ke sepuluh dalam Takwin Hijrah Islam. Ini menandakan berakhirnya bulan Ramadhan dimana umat Islam telah menjalani ibadah puasa dengan tekun. Umat Islam menyambut hariraya dari pagi hingga ke malam dan tempoh sambutan hari raya di Malaysia akan berterusan sehingga sebulan. Pada tahun 2009, sambutan hariraya adalah pada 21 September dan pada tahun 2010 ini, hariraya Aidilfitri dijangka disambut pada 10 September 2010.

Tujuan Hariraya Aidilfitri disambut adalah sebagai meraikan suatu kemenangan bagi umat islam yang telah mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Oleh itu, Hariraya Aidilfitri adalah untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu. Disamping itu, hariraya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat islam.
II. Latar belakang
Sejarah
Sejarah hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka. Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri. Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa sambuatn ini adalah perayaan keagamaan. Oleh itu, jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.
Setiap umat islam yang masih hidup diwajibkan membayar zakat fitrah. Tempoh membayar adalah dari bermulanya bulan puasa dan berakhir apabila bermulanya solat sunat hariraya. Kebiasaannya zakat fitrah ini dibayar di masjid atau di pusat zakat kerana terdapat kaunter-kaunter yang dibuka disana untuk memudahkan pembayaran. Jumlah pembayaran untuk setiap orang telah ditetapkan oleh kerajaan. Selalunya, ketua keluarga iaiu bapa akan pergi ke masjid untuk membuat pembayaran zakat fitrah. Zakat fitrah ini merupakan satu ibadah yang menggalakkan umat Islam untuk memberi sedekah dan membuat kebajikan menolong orang-orang yang kurang bernasib baik.

Sebaik sahaja pengumuman hariraya Aidilfitri dibuat di televisyen pada malam Ramadhan yang terakhir, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid memuji kebesaran Allah terutamanya di masjid-masjid dan surau. Pada malam hariraya, umat Islam di setiap kampung atau setiap kawasan perumahan akan mengadakan rombongan dari rumah ke rumah untuk bertakbir. Rombongan ini biasanya diketuai oleh ketua kampung atau ketua sesuatu kawasan. Selepas bertakbir, mereka akan dihidangkan dengan jamuan ringan sebelum pergi ke rumah yang lain pula untuk bertakbir.

Pada pagi hariraya pula, umat Islam akan mengerjakan solat sunat hariraya berjemaah di masjid. Walaubagaimanapun, sebelum pergi ke masjid, umat Islam disunatkan menikmati sedikit juadah hariraya yang dihidangkan oleh golongan wanita yang diketuai oleh nenek. Kebiasaannya, satu keluarga yang diketuai oleh bapa saudara yang paling tua akan beramai-ramai pergi ke masjid untuk mengerjakan solat hariraya. Sebaik selesai solat sunat hariraya, khutbah hariraya akan dibaca oleh imam di masjid.

Selepas solat sunat hariraya, seluruh anggota keluarga akan berkumpul di rumah datuk untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Upacara ini akan didahului oleh anggota keluarga yang paling sulung untuk memohon ampun dan maaf daripada kedua ibubapa. Selepas itu, bermulalah amalan berziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat handai atau menerima kunjungan tetamu. Upacara bermaaf-maafan juga akan diadakan sesama anggota keluarga, saudara-mara dan rakan taulan.
Amalan memberi wang kepada kanak-kanak juga telah menjadi semakin popular. Kadangkala, pemberian duit raya akan diganti dengan pemberian-pemberian hadiah seperti kain batik, kain pelekat atau kain sejadah terutamanya kepada golongan tua.

Bagi umat islam yang telah kehilangan ahli keluarga, saudara-mara akan berkunjung ke pusara mereka di tanah perkuburan islam pada pagi atau petang hariraya dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah.

III. PERSIAPAN SAMBUTAN PERAYAAN
Sebelum hariraya, umat Islam akan membuat persiapan dengan penuh meriah mengikut kemampuan masing-masing. Kebiasaannya, suasana persiapan dapat dirasai seminggu sebelum menjelang Aidilfitri. Pusat-pusat membeli belah akan mengadakan jualan murah dan dihiasi dengan perhiasan-perhiasan yang indah bertemakan perayaan hariraya Aidilfitri, Lagu-lagu raya juga akan diputarkan di radio dan di televisyen. Setiap keluarga akan membeli pakaian-pakaian baru terutamanya baju kebangsaan kaum melayu iaitu baju melayu dan sonkok bagi kaum lelaki dan baju kurung atau kebaya untuk kaum wanita. Kaum wanita pula akan membeli biskut dan kek untuk hidangan kepada tetamu kelak. Pada masa ini juga, peniaga-peniaga kecil akan mengambil kesempatan untuk mencari rezeki yang lebih dengan menjual baju-baju raya dan biskut raya. Umat islam yang bekerja terutamanya kaum bapa selalunya akan mendapatkan sampul-sampul duit raya yang diberi percuma oleh bank-bank dan syarikat perniagaan. Meraka akan menukar wang di bank untuk dimasukkan ke dalam sampul-sampul duit tersebut. Disamping itu, umat Islam juga akan menerima kad-kad ucapan hariraya Aidilfitri daripada saudara-mara dan rakan taulan yang berbilang kaum.

Selalunya umat Islam di bandar-bandar utama akan mula pulang ke kampong halaman masing-masing dua atau tiga hari sebelum berhari raya. Fenomena ini dikenali sebagai “Balik Kampung”. Pada masa ini, jalanraya utama dan lebuh raya di seluruh negara akan mengalami kesesakan lalu-lintas.

Kebiasaannya sehari sebelum hariraya, semua anggota keluarga telah berkumpul di rumah datuk. Nenek, ibu dan ibu saudara akan sibuk didapur untuk memasak juadah hariraya seperti rendang, kuah kacang, dodol, ketupat dan lemang. Ada juga sesetengah keluarga yang memasak lontong, nasi dagang dan sebagainya. Golongan perempuan yang muda pula akan sibuk mengemas dan menghias rumah, menukar langsir dan menggubah bunga manakala golongan lelaki akan sibuk membersihkan kawasan di luar rumah dan pergi ke masjid untuk membayar zakat fitrah. Pakaian-pakaian tradisi kaum melayu juga akan siap digosok untuk dipakai pada pagi hariraya.

Semasa hariraya, semua umat Islam akan bangun pagi untuk mandi sunat hari raya dan memakai pakaian kebangsaan yang baru dan cantik. Kaum lelaki akan memakai baju melayu yang dilengkapi dengan songkok manakala kaum wanita akan berbaju kurung atau kebaya. Juadah-juadah hariraya seperti ketupat, rendang dan dodol akan dihidangkan di meja di ruang makan. Biskut-biskut akan dimasukkan ke dalam balang-balang kaca yang cantik untuk hidangan kepada tetamu. Pinggan-pinggan dan gelas juga akan disusun di atas meja untuk tetamu. Semasa hariraya, bank, sekolah dan premis-premis perniaggan akan ditutup selama beberapa hari sempena Aidilfitri. Kebiasaannya, rumah-rumah terbuka akan diadakan pada hari raya itu sendiri atau sepanjang bulan Syawal.

Selepas menyambut hari raya selama seminggu di kampung halaman, semua orang akan pulang semula ke bandar untuk balik ke rumah masing-masing. Kampung halaman akan menjadi senyap sunyi seperti sediakala. Amalan rumah terbuka pula diteruskan di rumah masing-masing di bandar. Kebiasaannya di bandar-bandar, ramai orang akan menggunakan perkhidmatan syarikat katering dan telah membuat tempahan awal.

Antara amalan yang dilarang semasa menyambut perayaan hariraya Aidilfitri ialah amalan membazir. Umat Islam tidak digalakkan membeli pakaian baru yang banyak dan mahal serta membeli biskut raya yang terlalu banyak. Umat Islam digalakkan untuk bersederhana semasa membuat persiapan menyambut hariraya kerana mereka diharuskan mengingati golongan fakir dan miskin yang tidak mampu meraikan perayaan dengan meriah dan digalakkan memberi sedekah kepada mereka supaya meraka juga dapat meraikan hariraya dengan sempurna.

Di Malaysia, kadang-kadang perayaan hariraya Aidifitri bertembung dengan perayaan kaum india iaitu Deepavali atau perayaan kaum Cina iaitu Tahun Baru Cina. Kadang-kadang sesetengah pihak menggabungkan kedua-dua perayaan dengan menyebut “DeepaRaya” atau “KongsiRaya”. Memandangkan sambutan Hariraya Aidilfitri ini merupakan perayaan keagamaan, umat Islam dilarang menggabungkan kedua-dua perayaan tersebut dengan perayaan Hariraya Aidilfitri kerana perbuatan ini dianggap berdosa dan ditegah oleh Islam.

Dalam kesibukan menyambut hariraya dan ziarah-menziarahi, umat Islam diingatkan supaya tidak meninggalkan solat fardhu. Perkara-perkara lain yang bertentangan dengan ajaran agama Islam juga harus ditegah seperti tidak menjaga aurat dalam berpakaian dan tidak menjaga pergaulan sesama perempuan dan lelaki.

Pada malam hariraya, terdapat juga rumah-rumah yang memasang pelita dan lampu berwarna-warni untuk memeriahkan suasana sambutan hariraya. Kanak-kanak akan bermain bunga api dengan penuh keriangan. Walaubagaimanapun sekarang ini, pihak berkuasa telah menguatkuasakan undang-undang dengan tidak membenarkan penjualan bunga-api kepada orang ramai kerana aktiviti ini boleh merbahayakan individu atau menyebabkan kebakaran.

Konsep pemberian duit raya dikalangan kanak-kanak selalunya dianggap kemestian oleh mereka setiap kali berkunjung ke rumah saudara. Kita mestilah mendidik anak-anak supaya berkunjung ke rumah saudara mara dengan ikhlas dan tidak semata-mata mengharapkan duit raya. Jika tidak, pelbagai anggapan buruk oleh mereka kepada sesiapa yang tidak memberi duit raya seperti dengan mengatakan mereka kedekut dan ini telah lari daripada konsep hariraya yang sebenarnya.

IV KESAN PERAYAAN
a. Kekeluargaan
Sambutan perayaan hariraya dapat mengeratkan kekeluargaan kerana kebiasaannya ini adalah satu-satunya masa dimana semua ahli keluarga akan berkumpul di bawah satu bumbung, membuat aktiviti bersama seperti menziarah saudara-mara dan bermaaf-maafan. Disamping menyambut kemenangan kerana berjaya mengerjakan ibadah puasa, sambutan hariraya pula dapat mengeratkan silaturrahim, melahirkan kasih sayang antara saudara dan ini membuatkan kita sentiasa bersyukur dan menghargai kekeluargaan. Keluarga yang kukuh dan bahagia yang dibina atas dasar agama, kasih sayang, hormat-menghormati dan saling bermaafan akan melahirkan generasi yang berfikiran positif, sihat mindanya dan berwawasan.

b. Perpaduan
Sambutan rumah terbuka yang menjadi amalan di Malaysia ini boleh mewujudkan perpaduaan dikalangan masyarakat majmuk di negara kita. Selalunya kita akan menerima kunjungan sahabat-handai dan jiran-jiran yang berbilang kaum semasa hari terbuka. Amalan semasa menyambut hariraya Aidilfitri juga menggalakkan seruan kerajaan untuk melahirkan masyarakat ‘Satu Malaysia’. Semasa sambutan hariraya Aidilfitri juga, umat Islam di Negara ini akan menerima kad-kad ucapan daripada sahabat handai yang berbilang kaum. Ini menggalakkan perpaduan dikalangan pelbagai kaum di Malaysia yang menghormati kebudayaan dan agama masing-masing.

c. Peluang Perniagaan
Seluruh umat islam akan membuat persiapan hariraya Aidilfitri ini semenjak masuknya bulan puasa. Ini termasuk membeli biskut-biskut, kek dan baju kebangsaan. Pada musim ini, permintaan yang banyak membuka peluang-peluang perniagaan terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil. Kebiasaannya, pada musim inilah mereka akan berusaha untuk mencari rezeki yang lebih untuk menampung perbelanjaan keluarga dan membeli kepeluan hariraya. Selain itu, banyak juga tapak-tapak perniagaan sementara yang disediakan oleh kerajaan untuk peniaga-peniaga ini menjalankan perniagaan. Usaha ini adalah baik untuk meningkatkan ekonomi golongan yang berpendapatan kecil dan sederhana kerana pada musim ini, banyak barang-barang akan laku dan habis dijual.

d. Pengekalan Tradisi
Tradisi menyambut perayaan hariraya Aidilfitri ini telah menjadi amalan turun menurun sejak zaman nenek moyang kita lagi. Amalan-amalan yang sama sejak zaman dahulu lagi semada semasa membuat persiapan hariraya atau semasa menyambut hariraya Aidilfitri mengekalkan tradisi menyambut hariraya Aidilfitri di negara kita ini. Amalan-amalan seperti ziarah menzirahi, berpakaian baju kebangsaan yang cantik, solat sunat berjemaah di masjid, bermaaf-maafan telah menjadi amalan turun temurun. Pengekalan tradisi juga dapat dilihat pada juadah hariraya seperti ketupat, lemang dan rendang. Telah menjadi tradisi perayaan ini disambut dengan penuh meriah dan gembira. Disamping itu, usaha kerajaan memberikan cuti awam sebanyak dua hari kepada semua rakyat Malaysia sempena hariraya Aidilfitri memberi peluang kepada semua generasi untuk menyambut perayaan hariraya Aidilfitri dan mengekalan tradisi turun temurun nenek moyang kita. Ia juga menggambarkan betapa pentingnya sambuatan hariraya Aidilfitri kepada umat islam dan masyarakat Malaysia.

5.0 RUMUSAN
Kajian folio sejarah ini banyak memberi kebaikan kepada diri saya dalam mempelajari subjek sejarah di sekolah. Subjek perayaan tradisi kaum di Malaysia banyak memberi saya ilmu pengetahuan tentang tradisi dan warisan bangsa kaum di Malaysia. Dengan ilmu pengetahuan ini, saya akan lebih menghargai sambutan perayaan hariraya Aidilfitri ini.
Selain itu, kajian ini akan menyebabkan saya lebih menghayati perayaan Aidilfitri ini setiap tahun. Saya akan bersyukur dengan rezeki yang diberi kepada saya untuk merayakan hariraya Aidilfitri dengan sempurna. Tambahan pula, merayakan hari lebaran dengan keluarga tersayang, saudara-mara dan sahabat handai membuatkan perayaan ini lebih bermakna kerana kita juga dapat bermaaf-maafan. Selain itu, semangat kekeluargaan dan kasih sayang dapat ditanam dalam diri saya kerana perayaan ini adalah satu-satunya masa untuk seluruh ahli keluarga berkumpul di rumah datuk.
Dengan kajian ini, saya lebih memahami erti sebenar perayaan ini dari segi keagamaan iaitu meraikan kejayaan kerana berjaya berpuasa selama sebulan. Saya juga dapat memahami mengapa amalan-amalan semasa menyambut hariraya Aidilfitri dibuat dan diwarisi sejak turun temurun dari nenek moyang kita sehingga kini. Saya berasa bangga kerana tradisi menyambut hariraya ini masih kekal untuk saya warisi ke generasi akan datang.
Sambutan hariraya ini juga dapat memberikan kesedaran kepada kita supaya tidak membazir dalam perbelanjaan. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa mengingati golongan fakir miskin yang kurang mampu dengan amalan bersedekah.
Selain itu, amalan seperti kunjung mengunjungi dan rumah terbuka banyak mendatangkan kebaikan kepada masyarakat majmuk seperti di Malaysia demi perpaduan negara. Pelbagai kaum akan hadir meraikan sambutan hariraya ini dan ini dapat merapatkan persahabatan dan perpaduan.
Karangan Sambutan Hari Raya Aidilfitri
Sambutan hari perayaan di negara ini di sambut meriah oleh pelbagai bangsa dan agama.Perayaan utama di Negara ini meliputi perayaan Hari Raya Puasa buat orang Islam, Tahun Baru Cina buat orang Cina dan perayaan Deepavali buat orang India. Ketika perayaan ini disambut suasananya pasti dengan kegembiraan .Hidangan yang enak mengikut tradisi masing-masing dan pakaian baru. Semua rakyat negara ini menanti-nanti setiap perayaan dengan penuh debaran dan semangat tinggi. Oleh itu memang ada banyak kebaikan sambutan perayaan di negara ini. Semua perayaan ini kini disambut bersama-sama untuk melahirkan masyarakat 1 Malaysia yang dilaungkan oleh perdana menteri kita , dan keadaan ini sudah pasti akan berlaku interaksi antara kaum dan hubungan erat akan terjalin. Perayaan di negara ini mempunyai konsep rumah terbuka yakni setiap perayaan akan diadakan majlis secara besar-besaran bagi meraikan dan menyambut sesuatu perayaan itu. Lawatan yang diadakan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya interaksi antara kaum. Oleh itu, perayaan memang mampu meningkatkan interaksi kaum. Interaksi yang wujud ketika melawat rumah seseorang itu akan meningkatkan pengetahuan masing-masing akan budaya kaum yang lain. Pemahaman sebegini menjadikan masyarakat lebih faham akan tindakan seseorang daripada kaum yang berbeza dalam sesuatu perkara. Sudah pasti tidak akan timbul sebarang salah faham antara kaum pula. Maka, perayaan mampu meningkatkan kefahaman tentang budaya kaum yang lain.

Malah, imej negara juga akan turut menjadi lebih baik pada mata masyarakat dunia terutama pelancong asing. Bukan mudah untuk memiliki sebuah negara yang aman jika rakyatnya berbilang kaum berdasarkan masa masyarakat antarabangsa. Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanannya banyak bergantung kepada keupayaan rakyat negara ini menyambut perayaan setiap kaum dengan penuh kegembiraan. Jelaslah, perayaan di negara ini memberikan satu imej yang positif kepada negara dengan begitu mudah.

Kesimpulannya, sambutan hari perayaan mestilah diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Pada masa yang sama sambutan ini hendaklah dijadikan satu perayaan kebangsaan yang dinikmati bersama-sama. Generasi muda akan mendapat banyak manfaat daripada sambutan sebegini. Masyarakat yang harmoni akan wujud menerusi perayaan sebegini pada masa hadapan.

SENARAI KANDUNGAN
TAJUK MUKASURAT

Penghargaan

Objektif Kajian

Kaedah Kajian

Hasil Kajian

Rumusan

Karangan

Lampiran

Rujukan

7.0 RUJUKAN
Hari_Raya_ Aidil_Fitri – http://ms.wikipedia.org/wiki

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=209&dt=0920&pub=utusan-Malaysia&sec…

Majalah Al-Istiqamah Edisi Khas Jilid 6 Isu 5/2006

Buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 5 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka oleh Vishalache A/P Balakrishnan, Marwiyah binti Abu Kassim dan Muslimin bin Fadzil

6. LAMPIRAN

ARKIB : 19/07/2010- Utusan Malaysia- Online

Hari raya puasa dan Hari Kebangsaan tahun depan serentak
19/07/2010 7:33pm

KUALA LUMPUR 19 Julai – Kalau tahun ini sambutan Hari Kebangsaan diadakan pada bulan puasa, tetapi pada tahun depan, sambutan Hari Kemerdekaan negara itu akan diadakan serentak dengan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan 2011 yang dikeluarkan Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), tarikh 31 Ogos juga merupakan hari kedua sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Empat cuti umum tahun depan jatuh pada hari Ahad iaitu Hari Pekerja (1 Mei), Hari Raya Aidiladha (6 November), Maal Hijrah (27 November) dan Hari Krismas (25 Disember).
Cuti umum bagi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pula ialah pada hari Sabtu, 4 Jun.
Bagaimanapun tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha itu tertakluk kepada perubahan.
Sebanyak 15 hari Kelepasan Am Persekutuan telah ditetapkan bagi tahun depan termasuk masing-masing dua hari bagi sambutan Tahun Baru Cina pada 3 dan 4 Februari dan Hari Raya Aidilfitri pada 30 dan 31 Ogos.
Selain itu sambutan Tahun Baru 1 Januari juga pada hari Sabtu dan merupakan cuti umum kecuali di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu. – Bernama

Contoh gambar kad HAri Raya Aidilfitri

Contoh juadah atau makanan pada pagi Hari Raya Aidilfitri

Contoh amalan di pagi Hari raya Aidilfitri

SEKOLAH MENENGAH ………………………………..

SATU PERAYAAN KAUM
DI MALAYSIA

PERAYAAN HARIRAYA AIDILFITRI

NAMA :
KELAS :
NAMA PENILAI :

About these ads